SELAMAT DATANG

SELAMAT DATANG

Isnin, 15 Ogos 2011

Azan berkumandang tidak pernah berhenti

Azan berkumandang tidak pernah berhenti



Subhanallah! Maha Suci Allah. Dialah yang Tuhan yang Maha Esa, yang Maha Penentu bagi semua kejadian di sekelian alam. Setiap hari, kita umat Islam di Malaysia dan serata tempat di dunia ini akan mendengar laungan azan berkumandang pada setiap kali masuknya waktu solat lima waktu.

Namun, tahukah kita bahawa di sebalik laungan muazzin di setiap corong pembesar suara di surau, musolla dan masjid itu mempunyai signifikan yang tiada tolok bandingnya?

Melalui kajian yang dijalankan oleh beberapa pemikir dan cendekiawan Islam di Indonesia, sesungguhnya laungan azan yang bermula sejak di zaman Rasulullah S.A.W itu tidak pernah terputus mengelilingi bumi, selama 24 jam sehari mengikut putaran bumi sehingga kiamat. Sedarkah anda tentang hakikat ini?

Mari kita selami kebenaran dan keunikan perjalanan fenomena yang membuktikan keagungan Islam zaman berzaman ini bersama. Sediakan peta dunia di hadapan anda untuk memulakan “perjalanan” azan mengelilingi dunia.

Pertamanya, sila rujuk kepada peta dunia dan cari kedudukan Indonesia. Di situ, kita akan dapati bahawa kedudukan Indonesia terletak di bahagian timur bumi. Gugusan kepulauan di Indonesia adalah terdiri dari kepulauan Jawa, Sumatera, Kalimantan (termasuk Sabah dan Sarawak) dan Sulawesi.

Apabila fajar tiba di bahagian timur Sulawesi, sekitar jam 5.30 waktu tempatan, azan Subuh akan dilaungkan ribuan muazzin di situ. Proses ini berlanjutan dari satu tempat ke satu tempat sehingga tiba di bahagian barat Indonesia.

Setelah satu setengah jam azan sambung menyambung oleh muazzin-muazzin di Sulawesi selesai, laungan azan ini akan di sambung pula di Jakarta, kemudian di Sumatera, dan sebelum proses laungan azan itu berakhir di Indonesia, ianya akan disambut pula oleh muaazin di Malaysia.

Kemudian, laungan azan dari negara kita akan disambung pula di Myanmar, dan jarak masanya ialah sekitar satu jam setelah Jakarta memulakan azan tadi. Kemudian, azan tersebut akan berlanjutan ke Dhaka, ibu negara Bangladesh.

Setelah perjalanan azan tersebut melalui Bangladesh, ianya akan berlanjutan pula ke bahagian barat India. Dari Calcutta hinggalah ke Bombay dan seluruh India akan turut bergema dengan seruan untuk umat Islam sujud kepada Allah.

Perjalanan azan diteruskan lagi ke Sialkot, Pakistan. Daerah Srinagar di India mempunyai waktu azan yang sama dengan Sialkot yang terletak di bahagian utara Pakistan. Perbezaan waktu antara Sialkot, Quetta dan Karachi adalah 40 minit dan dalam tempoh tersebut azan subuh akan kedengaran pula di seluruh Pakistan.

Sebelum azan tersebut selesai dialunkan muazzin di Pakistan, azan tersebut akan mula di sambung di Afganistan dan Muscat. Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad juga adalah satu jam.

Kemudian, azan turun akan bersambung pula di Hijaaz Al-Muqaddas, di mana terletak dua kota suci umat Islam, Makkah Al-Mukarrahmah dan Madinah Al-Munawwarah, tempat asal lahirnya laungan azan. Kemudian azan tersebut akan meneruskan perjalanannya ke Yemen, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan seterusnya ke Iraq. Perbezaan waktu antara Baghdad dan Mesir juga adalah satu jam.

Seterusnya, perjalanan azan akan diteruskan ke Syria, Mesir, Somalia, dan Sudan. Perbezaan waktu antara barat dan timur Turki pula adalah satu setengah jam. Manakala Mesir dan Tripoli, ibu negara Libya, memiliki perbezaan waktu selama satu jam. Dan sepanjang tempoh perjalanan itu, azan yang dimulakan di Indonesia tadi belum lagi putus-putus perjalanannya. Sentiasa berkumandang mengelilingi dunia.

Dari benua Asia, azan meneruskan perjalanannya menyeberang ke benua Afrika.

Kini, kedudukan seruan azan sedang berkumandang di seluruh Afrika. Sejarah azan yang dimulakan oleh Bilal bin Rabah yang membawa seruan tauhid dan syahadah yang bermula dari Indonesia tadi, hingga akhirnya tiba di Asia Barat, Afrika dan lautan Atlantik memakan masa selama sembilan setengah jam.

Sebelum azan subuh tiba di lautan Atlantik, azan zohor telah bermula di bahagian timur Indonesia. Dan sebelum azan zohor tersebut tiba di Dakha, azan asar pula mula berkumandang dialun muazzin di sana.

Setelah azan asar dilaungkan di Jakarta, di dalam tempoh satu setengah jam, azan maghrib pula tiba waktunya di Sulawesi. Dan begitulah kitarannya kembali bermula, di saat muazzin di Indonesia melaungkan azan subuh, muazzin di Afrika turut melaungkan azan isyak di sana.

Jika kita renungkan fenomena kitaran perjalanan azan yang mengelilingi dunia tanpa putus-putus ini secara keseluruhan, dan akal yang dikurniakan Allah ini bakal dapat menyimpulkan sebuah fakta yang sangat menakjubkan kita, iaitu tidak ada sedetik pun waktu di dunia ini tanpa suara azan dari muazin di muka bumi.

Malah, pada ketika penulis sedang menulis artikel ini pun, penulis yakin bahawa muazzin-muazzin di seluruh dunia sedang sambut menyambut, melaungkan seruan kepada umat Islam untuk berkunjung ke rumah Allah S.W.T tanpa henti.

Kitaran azan itu akan terus berkumandang di muka bumi dan langit ini selama-lamanya, insyaAllah tidak akan berhenti selagi Israfil tidak melaungkan laungan sangkakala menandakan kiamat sudah tiba.

Dengan keajaiban signifikan yang kita perolehi melalui perjalanan azan mengelilingi dunia ini, sama-samalah kita menginsafi betapa pentingnya solat lima waktu kepada setiap umat Islam di seluruh dunia. Semoga kita sama-sama sujud kepadaNya pencipta sekelian alam yang serba menakjubkan.

Seruan yang menyeru seluruh umat Islam di seluruh dunia untuk menunaikan solat pastinya akan bersahutan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, empat minggu sebulan, 12 bulan setahun, sehinggalah “hari yang dijanjikan” itu tiba. Wallahua’alam.

Tiada ulasan: